Assalamualaikum wbt.. :)
Hari ni nak borak pasal BAHAGIA DAN KEBERKATAN.. ^_^
Pengalaman telah menunjukkan betapa pasangan suami isteri yang menjaga pergaulan mereka sebelum berkahwin, selalunya lebih bahagia, lebih kekal dan mendapat keberkatan dalam rumahtangga berbanding mereka yang mengabaikannya. Usia perkahwinan sampai ke anak cucu. Kalau ada pun yang bercerai, sangat sedikit bilangannya. Tetapi bagi yang tidak menjaga pergaulan sebelum berkahwin, bukan setakat tidak sampai ke anak cucu.. kadangkala sebelum menjejaki gerbang perkahwinan pun sudah putus cinta, 'frust' dan kecewa.
Ingatlah, selalunya seseorang yang hendak mendirikan rumahtangga disamakan dengan hendak mendirikan masjid. Bolehkah masjid dibina dengan wang haram? Bolehkah masjid dibina atas tanah haram? Tentu tidak boleh. Maka begitulah perkahwinan atau pernikahan yang dibina atas cinta yang melanggar peraturan Tuhan. Hakikatnya ia adalah 'masjid' yang dibina dengan wang haram. Seperti masjid yang dibina oleh kaum munafik pada zaman Rasulullah-masjid Dhirar yang dibina untuk memecah-belahkan bukan untuk menyatupadukan.
Walaupun pernikahan itu nanti tetap sah, namun jika pasangan tidak bertaubat atas dosa-dosa lampau yang dilakukan semasa bercinta dahulu, maka perkahwinan itu tidak akan kukuh, akan mudah runtuh bila dipukul ujian alam rumahtangga. Tidak mustahil keindahan alam percintaan akan sirna sebaik sahaja menempuh gerbang rumahtangga. Alangkah ruginya, padahal alam rumahtangga itulah yang sebenarnya lebih hakiki dan abadi berbanding alam percintaan yang bersifat transisi dan sementara.
SUDAH TERLANJUR BERCOUPLE??
Seperkara yang menarik ialah bagaimana pula keadaannya bagi pasangan yang sudah terlanjur ber'couple'? Apakah perlu memutuskannya serta-merta atau meneruskannya sahaja? Jika diputuskan, haii.. takut-takut nanti ada pula yang merana. Jatuh cinta samalah dengan jatuh hati. Hati bila sudah tertawan, sangat bahaya, kerana hati itu adalah umpama raja dalam diri manusia.
Bayangkan, kalau raja sudah tertawan, maka rakyat yang lain akan ditimpa kesusahan. Itulah yang menyebabkan tidur tak lena, mandi tak basah, makan tak kenyang. Cinta bila sudah terlanjur diberikan, umpama kenderaan yang sedang melunjur laju.. tidak boleh dibrek tiba-tiba. Nanti buruk akibatnya.
Jadi, bolehkah diteruskan? Jika ya, bagaimana? Telah ditegaskan sebelumnya, bahawa ber'couple' tidak salah-tetapi ikutlah peraturanNya. Yakinlah dengan janji Allah melalui lidah kekasihNya Nabi Muhammad saw;
"Jika seorang hamba Allah menahan keinginannya dari sesuatu yang haram (kerana Allah) maka Allah akan memberikan sesuatu yang diingininya itu mengikut jalan yang halal." [Al-Hadith]
Yang penting tanyalah hati sendiri, untuk apa aku bercouple? Jika niatnya benar-benar suci, yakni untuk bernikah (kerana itu tuntutan Allah dan mengikut sunnah), maka peliharalah niat yang suci itu baik-baik. Jangan dicemari dengan perbuatan yang kotor dan jijik. Tetapi sekiranya niat kita hanya untuk suka-suka, sekadar berseronok-seronok, maka hentikanlah. Takut syaitan mencelah. Apatah lagi bagi pasangan yang sering berdua-duaan di tempat yang sunyi. Ingat selalu pesan Rasulullah saw, tidak berdua-duaan seorang lelaki dan seorang wanita di tempat yang sunyi melainkan syaitanlah 'orang' ketiganya.
Couple yang begini akan terdedah kepada keburukan, sama ada yang menimpa pihak lelaki atau pihak perempuan atau kedua-duanya sekali. Kekadang, bila 'madu telah diseri' kumbang pun terbang pergi. Atau bila datang 'kumbang jati' yang lebih 'macho', bunga di taman disambar pergi.
Lalu terdengar suara-suara pilu yang syahdu.. "benci tapi rindu","batinku menjerit tapi tiada suara","aku gagak di rimba, engkau merak kayangan", sampailah kepada kata-kata yang boleh mencalarkan iman umpamanya "oh Tuhan, kau cabutlah nyawaku (hanya kerana putus cinta)" atau "Oh Tuhan, apalah dosaku" (macam maksum sangat - tak ada dosa). Selalulah kita beringat, bahawa tidak ada ketenangan dan kebahagiaan dengan membelakangkan hukum Tuhan.
Bagi couple yang benar-benar serius pula, ingatlah bahawa semakin banyak kemanisan yang kita teguk dalam pergaulan bebas sebelum berkahwin, maka semakin tawar dan hambar pula pergaulan itu sebagai suami isteri nanti (selepas berkahwin). Sebaliknya, semakin kita dapat mengawal diri daripada melalukan sesuatu yang dilarang oleh Islam sebelum kita berkahwin, maka semakin manislah alam rumahtangga yang akan kita lalui nanti.
Jika benar-benar sayangkan pasangan anda, maka hormatilah dia, peliharalah dia dan perlakukanlah si dia sewajarnya seperti orang yang anda sayangi. Jangan hancurkan hidup pasangan anda hanya kerana keseronokan yang sementara. Jika sayangkan permata, tempatkanlah ia di bekas yang selamat, dilindungi dan dijaga.. Jangan sekali-kali didedahkan, disepah-sepahkan. Jangan manisnya dikecap, sepahnya dibuang. Bagi jejaka, jagalah kehormatan si dia - bakal ibu bagi anak anda nanti. Sesungguhnya, hanya ibu yang baik dapat mendidik anak yang baik.
p/s; peringatan untuk para sahabat dan juga diri saya sendiri insyaAllah.. :') may Allah bless..
Tentang Cinta (Ust.Pahrol Mohd Juoi)




