Saturday, August 6, 2011

ikhlas

RUJUKAN: Buku karangan Abdullah Gymnasiar dan kelas ilmu Ustaz Akli.

NIAT YANG IKHLAS
 
Setiap hamba Allah memiliki kemampuan dalam beribadah yang berbeza. Sedangkan nilai ibadah seorang hamba di hadapan Allah ditunjukkan dengan ikhlasnya dalam beramal. Tanpa keikhlasan takkan bererti apa-apa amal seorang hamba. Tidak akan ada nilainya di sisi Allah jika tidak ikhlas dalam beramal.

Niat adalah pengikat amal. Keikhlasan seseorang benar-benar menjadi teramat sangat penting dan akan membuat hidup ini menjadi lebih mudah, indah dan jauh lebih bermakna.
Balasan yang dinikmati oleh hamba Allah yang ikhlas adalah akan memperoleh pahala amal, walaupun amalan tersebut belum dilakukan. Di samping itu kita akan merasakan ketenteraman jiwa, ketenangan hati. Kenapa tidak? Kerana dia tidak diperbudak oleh penantian untuk mendapatkan pujian, penghargaan atau imbalan. Dipuji atau tidak sama saja.
KONSENTRASIKAN AMALMU HANYA KEPADA ALLAH
 
Orang yang ikhlas adalah orang yang tidak menyertakan kepentingan peribadi ataupun imbalan duniawi dari apa yang dapat dia lakukan. Konsentrasi orang ikhlas hanya satu, yakni bagaimana apa yang dilakukannya diterima oleh Allah. 

Berhati-hatilah bagi orang-orang yang ibadahnya temporal, kerana boleh jadi perbuatan tersebut merupakan tanda-tanda keikhlasan belum sempurna. Yang ukuran nilai ibadahnya adalah duniawi.

Hamba Allah yang ikhlas mampu beribadah secara istiqamah dan terus menerus dilakukan. Orang-orang yang ikhlas adalah orang yang kualiti amalannya dalam keadaan ada atau tidak adanya orang yang memperhatikan adalah sama. Berbeza dengan orang yang kurang ikhlas, ibadahnya justeru lebih bagus ketika ada orang lain memperhatikannya.
IKHLAS, RAHSIA PARA KEKASIH ALLAH
 
Seorang sahabat dengan mimik serius mengajukan sebuah pertanyaan,“Ya kekasih Allah, bantulah aku mengetahui perihal kebodohanku ini. Kiranya engkau dapat menjelaskan kepadaku, apa yang dimaksudkan dengan ikhlas itu?“

Nabi SAW, kekasih Allah yang paling mulia bersabda,“Berkaitan dengan ikhlas, aku bertanya kepada Jibril a.s., apakah ikhlas itu? Lalu Jibril berkata,“Aku bertanya kepada Tuhan yang Maha Suci tentang ikhlas, apakah ikhlas itu sebenarnya?“ Allah SWT yang Mahaluas Pengetahuannya menjawab,“Ikhlas adalah suatu rahsia dari rahsia-Ku yang Aku tempatkan di hati hamba-hamba-Ku yang Kucintai.“(H.R Al-Qazwini)

Antara lain, Imam Qusyaery dalam kitabnya Risalatul Qusyairiyaah menyebutkan bahawa ikhlas bererti bermaksud menjadikan Allah sebagi satu-satunya sembahan. Keikhlasan bererti menyucikan amal-amal perbuatan dari campur tangan sesama makhluk. Dikatakan juga keikhlasan bererti melindungi diri sendiri dari urusan individu manusia.

TANDA-TANDA IKHLAS SEORANG HAMBA
 
1. Tidak mencari populariti dan tidak menonjolkan diri
2. Tidak rindu pujian dan tidak terkecoh dengan pujian.
Pujian hanyalah sangkaan orang kepada kita, padahal kita sendiri yang tahu keadaan kita yang sebenarnya. Pujian adalah ujian Allah, hampir tidak pernah ada pujian yang sama persis dengan keadaan diri kita yang sebenarnya.
3. Tidak mahu dibalas budi
4. Tidak mudah kecewa. 

Seorang hamba Allah yang ikhlas yakin benar bahawa apa yang diniatkan dengan baik lalu terjadi atau tidak yang dia niatkan semuanya pasti telah dilihat dan dinilai oleh Allah SWT. Contohnya, ketika kita menjenguk sahabat yang sakit di hospital, ternyata ketika kita sampai sahabat tersebut telah sembuh dan pulang. Tentu kita tidak kecewa kerana niat dan perjalanan termasuk kos dan keletihannya sudah mutlak tercatat dan tidak akan disia-siakan Allah.

Seorang hamba yang ikhlas sedar bahawa manusia hanya memiliki kewajiban menyempurnakan niat dan menyempurnakan ikhtiar. Perkara yang terbaik terjadi itu adalah urusan Allah.

Masalah kekecewaan yang wajar adalah jika berhubungan dengan urusan dengan Allah, kecewa ketika ternyata sholatnya tidak khusyu‘, ibadahnya tidak meningkat dan sebagainya.

5. Tidak membezakan amal yang besar dan amal yang kecil
6. Tidak fanatik golongan
7. Redha dan marahnya bukan kerana perasaan pribadi
8. Berasa mudah dan nikmat dalam beramal
9. Tidak ego kerana selalu mementingkan kepentingan bersama.
10. Tidak membeza-bezakan pergaulan.

p/s; semoga kita sentiasa IKHLAS KERANA ALLAH dalam setiap apa yang kita lakukan. walaupun dengan hanya meminjamkan barang kita kepada sahabat, kita ikhlas, Allah akan kira itu sebagai ibadah. dan kalau kita ikhlas, kita tidak akan mengungkitnya lagi. benarlah ikhlas itu hanya Allah yang tahu. wallahu'alam.. may Allah bless! :)