Pada
suatu hari, Rasulullah s.a.w membicarakan mengenai kenikmatan syurga
dan orang-orang yang tinggal di dalamnya. Lalu baginda ditanya oleh
Fatimah r.a., "siapakah wanita pertama masuk ke syurga?" Maka baginda pun menjelaskan: "Wahai
anakanda! Wanita pertama yang akan masuk ke syurga ialah Mutiah. Dia
hanyalah perempuan biasa dan kehidupannya amat sederhana."
Mendengar kata-kata Rasulullah itu maka air muka puteri Rasulullah itu terus berubah. Lalu dikatakanya kepada ayahandanya : "Lantas,
siapakah wanita itu wahai ayahandaku? Macamana halnya dan bagaimana
amalannya sehingga dia dapat terlebih dahulu masuk ke syurga daripada
anakanda?". Lalu Rasulullah menyarankan puterinya itu untuk menziarahi rumah wanita tersebut yang terletak di Jabal Uhud.
Saidatina
Fatimah kemudian keluar untuk mencari wanita yang dikatakan akan masuk
ke syurga terdahulu daripadanya itu. Setibanya di rumah wanita tersebut,
beliau pun mengetuk pintu rumah tersebut. Wanita dari dalam rumah
keluar sambil bertanyakan hajat kedatangannya, tetapi tidak pula
dijemput Saidatina Fatimah masuk ke dalam rumahnya.
Saidatina Fatimah menyatakan bahawa kedatanganya adalah untuk berjumpa dan berkenalan denganya. Wanita itu menjawab : "Terima
kasih puan. Tetapi saya tidak dapat membenarkan puan masuk kerana suami
saya tiada di rumah. Nanti saya minta izin daripadanya apabila dia
balik. Silalah datang pada esok hari."
Saidatina
Fatimah pulang ke rumah dengan perasaan sedih dan hampa kerana tidak
dapat bercakap panjang dengan wanita itu. Keesokan harinya, Saidatina
Fatimah datang lagi bersama dengan anaknya Hassan.
Sebaik
sahaja tiba di rumah itu, wanita dari dalam rumah tersebut membuka
pintu. Namum belum sempat Saidatina Fatimah dipersilakan masuk, wanita
tersebut terlihat anak lelaki puteri Rasulullah itu turut ada bersama,
lantas wanita tersebut melarang Fatimah untuk menjejak masuk ke dalam
rumahnya. Saidatina Fatimah menjelaskan bahawa kanak-kanak lelaki
tersebut adalah anak lelaki nya, Hassan. Lalu wanita tersebut berkata : "Maaf puan, saya meminta izin daripada suami saya hanya untuk puan sahaja masuk, tidak termasuk budak lelaki ini sekali."
Saidatina
Fatimah serba salah, kerana jikalau hendak pulang ke rumah semula jauh.
Hendak masuk ke rumah wanita tersebut, tidak mendapat keizinan dari
wanita tersebut. Akhirnya Saidatina Fatimah pun mengambil keputusan untuk
pulang ke rumah juga.
Keesokan
harinya, Saidatina Fatimah datang lagi dengan membawa kedua-dua
puteranya Hassan dan Hussein. Namun, kehadiran Saidatina Fatimah kali ini
benar-benar membuatkan wanita itu terkejut besar apabila mendapati ada
seorang lagi budak lelaki yang belum diminta keizinan dari suaminya
untuk masuk. Saidatina Fatimah terpaksa pulang dengan hampa untuk kali
yang ketiga.
Setelah
si suami pulang, wanita itu memberitahu tentang kehadiran puteri
Rasulullah bersama-sama dengan cucu baginda sekali iaitu Hassan dan
Hussein. Si suami sangat terkejut dan berkata : "Kenapa awak
tidak membenarkan mereka masuk? Bukankah Saidatina Fatimah itu puteri
Rasulullah s.a.w dan dua orang anaknya itu cucu Rasulullah? Sepatutnya
awak membenarkan ,mereka masuk, kerana keselamatan kita berdua kelak
bergantung kepada keredhaanya (Rasulullah s.a.w). Selepas ini, jika
mereka datang ke sini lagi dengan membawa apa pun siapa pun, terimalah
dengan sebaik-baiknya dan hormatilah mereka dengan sebagaimana yang
patut bagi darjat mereka."
Kemudian wanita itu menjawab: "Baiklah. Tetapi ampunkanlah kesalahan saya kerana saya mengerti bahawa keselamatan diri saya ini bergantung pada keredhaan awak."
Pada
keesokan harinya, Saidatina Fatimah datang semula ke rumah tersebut
dengan membawa kedua-dua anaknya. Mereka dilayan dengan sewajarnya dan
mereka memulakan perbualan. Tiada apa yang menarik perhatian Saidatina
Fatimah tentang perempuan itu. Sedang asyik berbual-bual, tiba-tiba
wanita tersebut bangun dan segera mempersiapkan dirinya. Dengan
penampilan mengghairahkan, wanita itu berdiri di muka pintu rumahnya
sambil memandang ke arah jalan seolah-olah sedang menanti kedatangan
seseorang. Di sebelah tangannya memegang tongkat dan sebelah lagi
memegang segelas air minuman. Wanita itu juga menyingsingkan kainnya
dengan hujung jarinya sehingga menampakkan betis dan sedikit pehanya
beserta wajah tersenyum manis.
Wanita
itu langsung tidak menghiraukan Saidatina Fatimah, seolah-olah beliau
tidak ada di dalam rumah tersebut. Fatimah berasa kurang senang dengan
perlakuan wanita itu, lantas Fatimah bertanya kepada wanita dan inginkan
penjelasan mengapa wanita tersebut berpenampilan sebegitu. Wanita itu
mnjelaskan: "Puan, maafkan saya kerana tidak dapat melayan puan
dengan sebaik-baiknya. Sebenarnya saya sedang menunggu suami saya yang
akan pulang pada bila-bila masa sahaja dari sekarang."
Lantas Saidatina Fatimah bertanya : "Apa gunanya tongkat dan air minuman itu wahai saudari?". "Sekiranya
suami saya dahaga sebaik sahaja sampai di rumah, saya akan segera
menghulurkan minuman ini kepadanya. Tongkat ini pula untuk memudahkan
dia untuk memukul saya sekiranya dia tidak berpuas hati terhadap layanan
yang saya berikan kepadanya", jawab wanita itu. Saidatina Fatimah bertanya lagi: "Kenapa pula puan menyelakkan kain sehingga menampakkan aurat? Bukankah perbuatan seperti itu haram?"
Jawab wanita itu: "Jika
dia berkehendakkan saya, lalu dia pandang saya begini, tentulah
menambahkan nafsu syahwatnya yang memudahkan kepada maksudnya." Saidatina Fatimah mendengar penjelasan dari wanita itu dengan penuh hairan lantas berkata kepada dirinya sendiri : "Wanita pertama yang akan masuk ke syurga adalah Mutiah. Dia hanyalah seorang wanita biasa dan kehidupannya amat sederhana."
Fatimah pun pulang ke rumah dan terus menemui ayahandanya. Beliau berkata: "Anakanda berasa sungguh sedih kerana tidak dapat meniru dan mengamalkan tingkah laku yang ayahanda ceritakan padaku."
Rasulullah s.a.w tersenyum mendengar rintihan Saidatina Fatimah. Faham
dengan perasaan puterinya itu, Baginda lantas berkata: "Anakanda,
janganlah terlalu bersusah hati. Wanita yang anakanda temui itu ialah
wanita yang bakal memimpin dan memegang tali kenderaan tunggangan
anakanda ketika masuk ke syurga. Sebab itulah dia masuk terlebih dahulu." Mendengar penjelasan itu barulah Saidatina Fatimah tersenyum kembali.
